Statistik Semasa

Jumlah Capaian : 480462

 

 

 

 

UCAPAN MENGGULUNG
PERBAHASAN BAJET 2009 DI PERINGKAT DASAR
BAGI KEMENTERIAN KEWANGAN
DI DEWAN RAKYAT
PADA 4 NOVEMBER 2008


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Tuan Yang DiPertua,

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Bajet 2009, khususnya yang membabitkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Banyak perkara yang telah ditimbulkan semasa perbahasan tersebut dan Kementerian Kewangan akan memberi perhatian terhadap semua teguran dan berusaha melaksanakan cadangan yang sesuai yang telah dikemukakan. Ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan Bajet 2009 dapat mencapai matlamat yang dinyatakan dalam  Ucapan Bajet oleh YAB Perdana Menteri pada 29 Ogos 2008 yang lalu.

2. Penggulungan pada kali ini mencatat sejarah kerana jawatan Menteri Kewangan Malaysia beralih selepas pembentangan Bajet 2009 dan sebelum penggulungannya. Di sini izinkan saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas keyakinan beliau melantik saya mengambil alih porfolio Menteri Kewangan. YAB juga telah berjaya menguruskan sebuah ekonomi yang mempunyai asas yang kukuh dan berdaya tahan.

3. Keduanya, kerana tercetus ledakan krisis kewangan global selepas pembentangan Bajet 2009 di Amerika Syarikat dan Eropah yang bahangnya sedang dirasai oleh dunia termasuk Malaysia. Justeru itu, Tuan Yang Dipertua, saya tidak akan mengambil sikap untuk semata-mata menjawab semua teguran dan cadangan seperti amalan biasa waktu perbahasan penggulungan. Sebaliknya di samping melakukan perkara tersebut, saya bercadang untuk membentang langkah-langkah tambahan sebagai "Policy Response"  terhadap krisis kewangan dunia agar ekonomi Malaysia terjamin pertumbuhan dan rakyat Malaysia tidak terlalu tertekan. Kerajaan beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk terus membela rakyat dan menyelamatkan ekonomi negara.

4. Ingin dimaklumkan bahawa saya berhasrat untuk memberi laluan penjelasan hanya selepas saya membentangkan langkah-langkah tambahan bagi Bajet 2009.

5. Semasa awal perbahasan Bajet 2009 ini, beberapa Ahli Yang Berhormat daripada pihak pembangkang telah menyarankan agar Bajet 2009 dikaji sepenuhnya dan dibentangkan semula kepada Parlimen, berikutan perubahan iklim ekonomi dunia sejak akhir-akhir ini. Kerajaan tidak akan membentangkan bajet baru 2009. Desakan untuk merobah keseluruhan dan membentang semula Bajet 2009 hanya akan membantutkan usaha Kerajaan untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dicapai. Kerajaan akan terus menumpukan perhatian kepada usaha mengurus hal ehwal negara dan memperbaiki kehidupan rakyat agar ekonomi negara tidak akan melanda kemelesetan. Oleh yang demikian, adalah penting untuk meneruskan rancangan perbelanjaan Kerajaan bagi tahun 2009 demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan untuk kesejahteraan rakyat.

6. Saya ingin menegaskan kepada Dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan sentiasa sedar dan memantau rapi perkembangan ekonomi di peringkat global dan domestik. Ketidaktentuan dan impak krisis kewangan global ini telah membawa implikasi negatif kepada pasaran kewangan negara kita. Alhamdulillah, dasar, kawalselia serta langkah berhemah Kerajaan yang telah dipraktikkan sebelum ini telah menjadikan asas-asas kewangan negara kekal kukuh.

7. Tidak seperti krisis kewangan Asia 1997/98 dulu, pasaran kewangan dan hartanah Malaysia tidak dibelenggu petanda-petanda (symptoms) "speculative bubble" di dalam pasaran kewangan dan hartanah domestik. Selain itu, Malaysia tidak terdedah kepada penularan produk kewangan inovatif yang kompleks dan tidak dikawal, yang merupakan antara punca utama krisis subprima dan kewangan di peringkat antarabangsa. Sementara itu, sebahagian aset pasaran modal di Malaysia adalah berteraskan prinsip syariah yang mengamalkan tahap hutang dan pengurusan kewangan yang berhemah.

8.  Tambahan lagi, jumlah tabungan negara berada pada paras yang tinggi iaitu sebanyak 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini mencerminkan negara mempunyai lebihan mudah tunai yang boleh digunakan untuk menjana aktiviti ekonomi. Sektor perbankan kekal kukuh dengan hutang tak berbayar (NPL) yang rendah iaitu 2.5 peratus dan nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) sebanyak 13.2 peratus, jauh melebihi paras 8 peratus dalam piawaian antarabangsa.

9. Semua pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan. Selain daripada kepimpinan politik yang berhemah dan bijaksana, kerajaan juga mengiktiraf peranan badan kawalselia seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang telah melaksanakan tugas mereka secara profesional bagi mengawal-selia sistem kewangan agar sentiasa berada di landasan yang betul. Pendekatan kerajaan yang menguruskan ekonomi yang dulunya di anggap unorthodox (melawan arus), tetapi kini telah diiktiraf sebagai satu keperluan bagi mengatasi kemelut ekonomi terkini yang melanda ekonomi negara besar dunia.

10. Namun yang demikian, kerajaan bukannya "in denial" ataupun menidakkan yang nyata dan benar sebagaimana tuduhan pembangkang. Walaupun Malaysia tidak mengalami krisis kewangan secara langsung dan mempunyai asas-asas kewangan yang kukuh, kita sedar bahawa Malaysia tidak terkecuali atau terlindung daripada menghadapi risiko perkembangan global yang amat mencabar ini.

11. Bajet 2009 telah dirangka dengan mengambil kira pelbagai faktor dan ianya tidak perlu dikaji semula sepenuhnya. Bajet 2009 sememangnya sudahpun mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan bagi tahun 2009. Sebagai Kerajaan yang prihatin, penekanan telah diberi kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat, terutamanya yang miskin dan berpendapatan rendah selain daripada memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan. Dalam perkara ini, penekanan telah diberi kepada perluasan Jaringan Keselamatan Sosial untuk menyokong golongan miskin dan berpendapatan rendah, di desa dan di kota, di pekan kecil dan kampung terpencil.

12. Ini selari dengan hasrat kita untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010, seperti yang disasarkan oleh YAB Perdana Menteri. Sebagai pengganti beliau di Kementerian Kewangan, saya akan pastikan hasrat murni ini akan tercapai. Ini juga secara langsung dapat meningkatkan kuasa beli rakyat dan merangsang pertumbuhan permintaan dalam negeri. Penekanan juga diberi kepada pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia Kesembilan terutamanya yang berimpak tinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan.

13. Dengan itu, Kerajaan komited untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi mengukuhkan tahap keyakinan di dalam negeri dan terus menjamin kesejahteraan rakyat. Walaupun hasil Kerajaan akan berkurangan ketika penurunan harga komoditi yang mendadak serta permintaan global yang lembab, Kerajaan akan terus melaksanakan langkah perbelanjaan yang telah dirancangkan. Ini termasuk memperluaskan program Jaringan Keselamatan Sosial, memperkasakan pendidikan, membangunkan infrastruktur sokongan dan membangunkan kawasan luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak.

14. Kerajaan yakin ekonomi negara pada tahun ini mempunyai daya tahan untuk menghadapi persekitaran global yang mencabar kerana momentum pertumbuhan ekonomi negara terus kukuh. Pertumbuhan ekonomi domestik disokong, terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan permintaan dalam negeri. Berdasarkan senario ini, saya yakin dan percaya negara akan mencapai sekurang-kurangnya 5 peratus pertumbuhan KDNK bagi tahun 2008.

15. Penunjuk ekonomi global sejak akhir-akhir ini semakin membimbangkan yang dijangka memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa pada tahun hadapan. Berikutan itu, banyak negara termasuk di rantau Asia, telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK kepada paras yang lebih rendah. Ini termasuklah Singapura yang telah menurunkan anggaran pertumbuhan KDNK daripada 4 atau 5 peratus kepada 3 peratus bagi tahun 2008. Bagi tahun 2009,  negara India juga telah menurunkan anggaran pertumbuhan daripada 8.5 peratus kepada 7.7 peratus, manakala pertumbuhan negara China dijangka menurun daripada 9.7  peratus kepada 9.3 peratus.

16. Dengan mengambil kira kesemua faktor global dan domestik serta pelaksanaan langkah-langkah tambahan Bajet 2009, saya dengan ini mengumumkan bahawa sasaran pertumbuhan KDNK yang dikaji semula pada tahun 2009 ialah 3.5 peratus. Ini masih ditahap yang memuaskan  berdasarkan kepada senario ekonomi global semasa.

17. Sementara itu defisit fiskal Kerajaan bagi tahun 2009 masih ditahap yang terkawal yang dianggarkan sebanyak 4.8 peratus. Punca defisit ini ialah kerana kerajaan memilih untuk terus mengadakan bajet yang mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Tahap ini adalah serupa dengan anggaran defisit tahun 2008. Defisit 4.8 peratus ini adalah bersifat sementara, dalam lingkungan yang munasabah memandangkan negara mempunyai kecairan yang mencukupi untuk meminjam daripada pelbagai sumber dalaman.   

18. Kerajaan akan mengamalkan dasar "expansionary", sepertimana juga yang diamalkan oleh negara-negara lain pada masa kini. Dalam konteks Bajet 2009 yang telah dibentangkan, Kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek-projek tambahan berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak. Melalui penjimatan ini, sukacita diumumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan suntikan peruntukan sebanyak 7 bilion ringgit. Ini adalah penting untuk memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri, serta merangsang keyakinan sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat.

19. Kerajaan sedar bahawa harga barang masih ditahap yang membebankan pengguna. Namun langkah-langkah proaktif sedang diambil seperti kempen penurunan harga barang oleh pasaraya yang berkaitan. Apabila harga minyak turun, sewajarnya harga barang juga turun. Oleh itu, para peniaga disaran agar lebih bertanggungjawab dengan tidak terlalu mengaut keuntungan di samping pengguna wajar mengambil langkah bijak ketika berbelanja. Kadar inflasi pada 2009 dijangka berada pada tahap 3 hingga 4 peratus, jika harga minyak sedunia kekal dalam trend menurun sebagaimana sekarang.

20. Mengenai penstabilan harga kelapa sawit, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama rapat. Antara langkah yang diambil ialah megurangkan bekalan sawit melalui program penanaman semula. Selain itu, usaha untuk mengeluarkan biodiesel daripada sawit, iaitu adunan 5 peratus biobahan api sawit (metil ester) dengan diesel fosil, akan sentiasa dipertingkatkan bagi menambah permintaan terhadap sawit. Mulai bulan Februari 2009, biodiesel ini akan digunakan bermula dengan kenderaan-kenderaan Kerajaan, diikuti dengan sektor industri dan sektor pengangkutan. Pengadunan ini dianggarkan akan memerlukan sebanyak 500,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun 2010.

21. Kerajaan memang memberi perhatian kepada pekebun kecil terutamanya yang terlibat dalam sektor pertanian. Bagi mengurangkan kos input pertanian terutamanya baja, Kerajaan bersetuju memansuhkan duti import sebanyak 5 peratus yang dikenakan ke atas 7 jenis baja. Ini adalah tambahan kepada penghapusan duti import ke atas satu jenis baja semasa pembentangan Bajet 2009. Dengan langkah ini, semua baja mineral yang diimport tidak lagi dikenakan duti. Di samping itu, dengan penurunan harga minyak mentah, pihak industri pengeluar baja tempatan telah bersetuju untuk membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus harga baja dengan serta merta.

22. Dalam usaha memperkukuhkan daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi  persekitaran  global yang semakin mencabar, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah tambahan dalam Bajet 2009. Penekanan akan diberi untuk menggalakkan aktiviti ekonomi domestik bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Dasar "export-led recovery", yang diamalkan semasa krisis kewangan 1997/98 dengan jayanya, tidak dapat dilaksanakan dalam suasana kini, memandangkan keadaan permintaan dan perdagangan antarabangsa semakin lembab.

23. Pembentangan Bajet 2009 yang lalu telah mengambilkira dan mengunjurkan senario global yang mencabar bagi tahun 2009. Namun, perubahan perkembangan ekonomi global yang mendadak sejak akhir-akhir ini memerlukan kita mengambil tindakan proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global masa kini. Keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan yang juga luar biasa ataupun dengan izin, "extraordinary times, require extraordinary measures".

24. Kerajaan sedar bahawa langkah-langkah tambahan biasanya tidak diumumkan dalam ucapan penggulungan. Walaupun pengumuman langkah tambahan ini mungkin merupakan tindakan "unprecedented", ini perlu dalam suasana global yang semakin getir. Perlu ditekankan bahawa jumlah perbelanjaan yang dibentang pada Bajet 2009 masih tidak berubah. Segala perbelanjaan yang digunakan untuk langkah-langkah tambahan ini adalah hasil penjimatan dari subsidi minyak.

25. Pembangkang telah mencadangkan suatu bajet alternatif yang bersifat menguncup (contractionary) dengan potongan sebanyak 24 bilion ringgit daripada jumlah Bajet 2009. Ini adalah suatu cadangan yang akan membawa ke lembah kehancuran ekonomi sebagaimana yang pernah dicadangkan pada tahun 1997 oleh Menteri Kewangan ketika itu. Sebaliknya, cadangan yang diumumkan ini adalah bersifat expansionary sebagai penjana pertumbuhan yang berganda sifatnya. Ketika ekonomi dunia menguncup, langkah yang tepat ialah menyuntik dana tambahan agar ekonomi tidak mengalami kemelesetan, sebaliknya boleh terus  berkembang. Inilah perbezaan yang amat ketara antara cadangan bernas kerajaan dan cadangan hampas pihak pembangkang.

26. Kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal yang mengembang (expansionary). Untuk ini, Kerajaan akan menyemak semula projek-projek dengan tujuan untuk memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi (high multiplier effect) dan kandungan import yang rendah. Ini akan dilaksanakan tanpa menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2009 sebelum ini. Sebagai contoh, Kerajaan telah menangguhkan pembelian helikopter untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, supaya penjimatan ini boleh digunakan bagi projek pembangunan yang lain.

 

Tuan Yang Dipertua,

27. Sebagai tanda dan bukti kerajaan amat prihatin tentang kesejahteraan rakyat, maka penjimatan 7 bilion ringgit daripada subsidi minyak akan disalurkan seperti berikut:

Pertama:

  • Untuk memastikan lebih ramai rakyat mampu untuk memiliki rumah, sebanyak 1.2 billion ringgit diperuntukkan bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana. 
  • Dengan peruntukan tambahan ini, sebanyak 6,500 unit rumah akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebanyak 4,000 unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan 15,000 unit rumah yang bernilai diantara 30 ribu ringgit hingga 35 ribu ringgit sebuah untuk Semenanajung dan di antara 35 ribu ringgit hingga 40 ribu ringgit untuk Sabah dan Sarawak. Rumah ini akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dianggarkan secara purata, sebanyak 100 buah rumah PPRT akan dibina di setiap daerah di seluruh negara.
  • Program Amal Jariah, yang dikendalikan oleh Prokhas, anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan,  adalah bertujuan membaikpulih rumah usang rakyat miskin tegar supaya mereka dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat didiami. Program yang mula dilancarkan pada awal tahun ini, telah berjaya membaik pulih 7,000 unit rumah yang dianggar melibatkan peruntukan sebanyak 40 juta ringgit. Pada tahun 2009, Prokhas akan membaiki 15,000 unit rumah sementara Khazanah Nasional akan menyelaraskan usaha-usaha syarikat GLC untuk melaksanakan Program Sejahtera yang melibatkan pembaikan 5,000 buah rumah. 
  • Selain itu, untuk memudahkan golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap mendapatkan pinjaman perumahan, Kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi pinjaman perolehan rumah sehingga 100 ribu ringgit. Semenjak dilancarkan, sebanyak 800 peminjam, termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan, telah diluluskan pinjaman berjumlah 35 juta ringgit.

Kedua:

  • Bagi mengiktiraf peranan anggota keselamatan dan menjaga kebajikan mereka, sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan bagi menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara balai dan kuarters polis serta kem dan kuarters tentera iaitu 250 juta ringgit untuk polis dan 250 juta ringgit juga untuk tentera.
  • Projek ini akan dilaksanakan dengan segera kerana pada pandangan kerajaan, kebajikan anggota pasukan keselamatan wajar sentiasa didahulukan.

Ketiga:

  • Sebanyak 600 juta ringgit diperuntukkan bagi projek-projek kecil di bawah program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS), contohnya menyenggara jalan kampung,  membina balai raya dan  jambatan kecil.
  • Peruntukan ini akan dapat juga membantu kontraktor-kontraktor kecil bagi menyelesaikan masalah kekurangan projek pembinaan. Selain itu, ia dapat memberikan prasarana yang lebih sempurna kepada rakyat, khasnya di luar bandar.

Keempat

  • Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan bagi menyenggara dan membaik pulih kemudahan awam; antaranya sekolah, hospital dan jalanraya.

Kelima

  • Sebanyak 500 juta ringgit akan diperuntukan untuk membina, menaiktaraf jalan-jalan di luar bandar, jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian, termasuk di Sabah dan Sarawak.
  • Sekali lagi ini melambangkan keprihatinan kerajaan bagi mengembangkan sektor pembinaan yang mempunyai kesan gandaan tinggi selain memastikan budaya penyelenggaraan dijadikan amalan. Pada ketika yang sama, kebajikan rakyat dalam pendidikan, perubatan dan perhubungan dapat diperbaiki.

Keenam:

  • Untuk merangsangkan lagi pendidikan negara dan mengambil kira kehendak semua kaum, maka kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 200 juta ringgit kepada empat kumpulan sekolah, iaitu  50 juta ringgit untuk sekolah agama bantuan kerajaan,  50 juta ringgit untuk "mission school", 50 juta ringgit untuk SJK Cina dan 50 juta ringgit untuk SJK Tamil.

Ketujuh:

  • Sebanyak 300 juta ringgit  diperuntukkan bagi menubuhkan dana untuk melaksanakan program latihan kemahiran yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan majikan dan industri, terutamanya di Koridor-koridor Pembangunan. Agihan dana ini akan diselaraskan dengan pihak berkuasa koridor pertumbuhan, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri dan lain-lain organisasi yang berkaitan. Sektor yang akan diberi tumpuan untuk latihan tersebut adalah sektor pelancongan, kesihatan, pembinaan dan "business process outsourcing".

Kelapan:

  • Kerajaan amat sedar bahawa kos sara hidup di bandar adalah tinggi termasuk untuk menampung kos pengangkutan. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 500 juta ringgit bagi menyelenggara dan  memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem LRT, Komuter  dan sistem bas di bandar-bandar utama. 
  • Seperti yang dibentang oleh YAB Perdana Menteri, kerajaan adalah komited untuk meperluaskan sistem pengangkutan awam agar lebih cekap dan "reliable", termasuk melaksanakan projek utama seperti penambahan sistem LRT, meningkatkan kapasiti aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang, memperluaskan lagi perkhidmatan rel di Lembah Klang dan mengujudkan satu aliran baru dari Kota Damansara ke Cheras. Kesemua usaha ini akan memberi manfaat kepada lebih 1 juta pengguna.

Kesembilan :

  • Sebanyak 1.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pelaburan untuk menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta;
  • Dana ini adalah bertujuan menarik aktiviti pelaburan swasta yang berdaya maju. Tumpuan akan diberi kepada sektor strategik yang bernilai tambah tinggi dan projek berimpak besar dari segi nilai pelaburan, teknologi dan "knowledge workers"
  • Dana ini akan digunakan untuk memberi geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur. Pendekatan sebegini telah berjaya menarik pelabur dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi, seperti Dell, Hewlett Packard dan Satyam, ke Cyberjaya serta dalam sektor pembuatan bernilai tambah yang tinggi, seperti pengeluaran panel solar, industri aeroangkasa dan komponen kapal terbang.

Kesepuluh:

  • Sebanyak 400 juta ringgit diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.
  • Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi ini adalah penting untuk memastikan daya saing negara pada masa hadapan. Prasarana sebegini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti ekonomi, perniagaan dan seterusnya melonjakkan negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi. Selain itu, pelaksanaan projek ini akan meningkatkan kualiti hidup rakyat di samping menjadi pemangkin kepada pelaburan swasta dalam sektor berteknologi tinggi. Ia juga akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan menambahkan peluang pekerjaan. Menjelang akhir 2009, perkhidmatan ini akan dapat disediakan kepada 300,000 premis, terutamanya di Lembah Klang dan juga kawasan industri seperti di Bayan Baru, Senai dan Kulim.
  • Pihak pembangkang telah mencadangkan agar projek ini dikaji semula. Sebenarnya, jika kita lambat untuk melaksanakannya, negara akan terus tertinggal ke belakang di dalam arus kepesatan teknologi moden, selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi masa kini.

Kesebelas:

  • Untuk membina modal insan melalui program-program latihan yang diurus oleh kementerian yang berkaitan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 200 juta ringgit. Ini adalah peruntukan bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum. Nama-nama pelatih boleh dikemukakan oleh kementerian yang berkenaan seperti Kementerian Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sumber Manusia serta Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Keduabelas:

  • Untuk memperkasakan golongan belia melalui program program baru, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 100 juta ringgit. Antara program  yang terlibat ialah rakan muda sekolah, rakan muda sektoral yang melibatkan kampung baru Cina, estet untuk kaum India, kampung orang asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Ketigabelas:

  • Untuk menggerakkan semula projek perumahan yang terbengkalai di kawasan-kawasan strategik terpilih dan berdaya maju, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak 200 juta ringgit. Projek ini akan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Keempatbelas:

  • Untuk menambahkan premis perniagaan di samping memperindahkan suasana pekan-pekan kecil yang terpilih di seluruh negara, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 100 juta ringgit. Ini akan dapat menambah bilangan usahawan kecil dan sederhana, termasuk memasarkan produk keluaran tempatan. Program ini akan dilaksanakan oleh MARA di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kelima belas:

  • Untuk melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti, sebanyak 200 juta ringgit diperuntukkan untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur 1 hingga 6 tahun. Ini termasuk program seperti PERMATA negara, Tadika KEMAS, Tadika Perpaduan dan kelas Pra-Sekolah.

28. Penjimatan 7 billion yang diperolehi daripada subsidi ini akan diperuntukkan semula oleh Kementerian Kewangan untuk   melaksanakan projek-projek yang telah disebutkan. Penjimatan ini merupakan suatu rahmat untuk diagihkan kepada rakyat di samping dapat menjana pertumbuhan ekonomi. Usaha- usaha ini akan memberikan kesan positif antara lain dalam sektor pembinaan, perumahan, pengangkutan, pelaburan, latihan dan teknologi maklumat.

29. Kerajaan sedar bahawa di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kepantasan bertindak untuk melaksanakan semua program yang baru disebutkan tadi adalah amat kritikal. Oleh itu, kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Projek (Project Management Unit - PMU) di bawah Kementerian Kewangan untuk memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi, ke arah memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Tumpuan akan diberi bagi projek yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi serta kritikal bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Unit ini akan melapor terus kepada Menteri Kewangan dan dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, badan kawal selia, dan syarikat berkaitan kerajaan yang terpilih.

30. Sebagai satu langkah baru untuk menjana pendapatan tambahan dan mencetuskan kegiatan ekonomi tempatan yang lebih rancak, Kerajaan bercadang untuk memaksimumkan pulangan daripada semua aset yang sedia ada termasuk tanah-tanah yang belum dibangunkan lagi. Antara aset tersebut ialah tanah di lokasi strategik yang boleh dimajukan. Sehubungan dengan ini, kerajaan bercadang untuk menggunakan kaedah baru, iaitu dengan memanggil tender terbuka, yang melibatkan sektor swasta dan GLC bagi memajukan tanah tersebut. Kerajaan akan menentukan kriteria dan skop pelan pembangunan yang akan disertai dalam syarat syarat tawaran. Sekiranya konsep pembangunan  ini dapat dilaksanakan, kerajaan dijangka akan memperolehi pendapatan yang besar.  Kerajaan akan mengenal pasti aset-aset, dalam bentuk tanah-tanah yang strategik, yang boleh ditawarkan di bawah inisiatif ini termasuk tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, tanah Kerajaan di Jalan Cochrane dan Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

31. Walaupun kita menghadapi kemelut ekonomi global,  Kerajaan akan tetap mampu untuk memperluaskan liputan Jaringan Keselamatan Sosial ke arah meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah. Dalam hal ini, usaha sedang dilaksanakan ke arah pendaftaran serta liputan penuh penerima bantuan berdasarkan tahap kelayakan baru yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2009 yang lalu. Syarat asas pemberian Bantuan Kebajikan Bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah di naikkan daripada 400 ringgit kepada 720 ringgit untuk Semenanjung Malaysia, 830 ringgit untuk Sarawak dan 960 ringgit untuk Sabah, selaras dengan Pendapatan Garis Kemiskinan. Dengan ini, bilangan isirumah yang akan menerima bantuan akan meningkat daripada 55,000 kepada 110,000 orang. Kerajaan mensasarkan liputan penuh akan dicapai pada akhir tahun ini.
 
32. Pada masa ini, caruman majikan kepada KWSP adalah 12 peratus manakala caruman pekerja adalah 11 peratus. Sebagai langkah untuk menambah pendapatan boleh guna pekerja, Kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela sebanyak 3 peratus selama 2 tahun, mulai 1 Januari 2009. Dengan penurunan ini, jumlah caruman masih pada tahap munasabah 20 peratus, iaitu 12 peratus majikan dan 8 peratus pekerja. Seseorang yang berpendapatan 2,000 ringgit sebulan akan memperolehi pendapatan boleh guna tambahan sebanyak 60 ringgit sebulan, manakala seseorang yang berpendapatan 6,000 ringgit sebulan akan memperolehi pendapatan boleh guna tambahan sebanyak 180 ringgit sebulan. Sekiranya semua pencarum memilih untuk mengurangkan caruman, jumlah yang terlibat adalah 4.8 bilion ringgit setahun. Sekiranya kita mengandaikan bahawa hanya 50 peratus daripada pencarum akan menggunakan kemudahan ini, perbelanjaan penggunaan swasta dijangka meningkat sebanyak 2.4 bilion ringgit.

33. Untuk memudahkan penjawat awam memiliki kereta, Kerajaan akan meningkatkan had kelayakan pinjaman kereta bagi penjawat awam seperti berikut:

  • Bagi gred JUSA, had kelayakan dinaikkan daripada 60,000 ringgit kepada 70,000 ringgit;
  • Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada 55,000 ringgit kepada 65,000 ringgit; dan
  • Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada 45,000 ringgit kepada 55,000 ringgit.

Penjawat awam juga akan diberi kebenaran untuk mengambil pinjaman perumahan bagi hartanah di pasaran sekunder di mana hakmilik strata belum dikeluarkan.

34. Kerajaan telah mengumumkan tempoh bayaran balik bagi pinjaman perumahan baru kakitangan Kerajaan dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun. Untuk memastikan peminjam sedia ada mendapat kemudahan yang sama, peminjam diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman kepada 30 tahun. Langkah ini akan dapat membantu menambah pendapatan boleh guna peminjam. Sebagai contoh, seorang penjawat awam yang kini mempunyai pinjaman sebanyak 190,000 ringgit selama 25 tahun, dan telah pun menjelaskan pinjaman beliau selama 10 tahun, dengan melanjutkan tempoh pinjamannya, beliau dapat mengurangkan ansuran bulanannya daripada 1,000 ringgit sebulan kepada 820 ringgit sebulan ataupun lebihan pendapatan boleh guna sebanyak 180 ringgit sebulan. Pihak kerajaan, melalui Bank Negara, juga akan menyaran dan menggesa pihak bank mengambil inisiatif untuk memberi kelonggaran dan menstrukturkan semula pinjaman bagi peminjam-peminjam yang memerlukan.

35. Untuk menggalakan perkembangan perniagaan runcit dan industri pelancongan domestik, maka kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, memberi kebenaran untuk pasar raya besar (hypermarkets) melanjutkan masa perniagaan sehingga jam 11 malam pada hari biasa. Pada hujung minggu pula, ia boleh dibuka sehingga jam 1 pagi. Untuk pasar raya di pusat membeli belah, premis ini boleh dibuka sepanjang masa tertakluk kepada kebenaran kerajaan tempatan. Selain itu, langkah ini adalah selaras dengan objektif untuk menjadikan negara sebagai destinasi membeli-belah yang menarik. Kerajaan berharap dengan langkah ini, kompleks membeli-belah akan terus menyambut dengan baik usaha kempen penurunan harga barang yang telah dimulakan baru-baru ini.

36. Kerajaan juga komited kepada usaha meliberalisasikan sektor perkhidmatan di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perkhidmatan ASEAN (AFAS), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di peringkat dua hala dan serantau. Di bawah AFAS, semua sektor perkhidmatan akan dibuka sehingga 70 peratus pegangan asing pada 2015. Antara sektor yang akan dibuka termasuklah sektor logistik, aktiviti-akitiviti tertentu dalam sektor telekomunikasi, pelancongan, perkhidmatan hospital swasta dan sektor pengajian tinggi. Kerajaan akan membuat pengumuman terperinci setelah mendapat kelulusan Kabinet berasaskan cadangan daripada Kementerian Perdagagangan Antarabangsa dan Industri .

37. Dalam hal ini, Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan dan modal insan. Kapasiti sektor perkhidmatan akan ditingkatkan melalui program latihan pekerja tempatan serta memudahkan pengaliran masuk pekerja mahir dan profesional asing.
 
38. Pelancongan kesihatan dan pendidikan merupakan subsektor yang berpotensi besar dalam sektor perkhidmatan. Untuk terus merangsang dalam subsektor tersebut, Kerajaan akan menyediakan garis panduan untuk memudahcara pengambilan profesional dan pelatih asing, memudahkan pengiktirafan kelayakan asing, memudahcara proses visa bagi pesakit dan keluarga serta menyelaras syarat-syarat berkaitan dengan penubuhan dan operasi hospital dan pusat latihan kesihatan. Pendekatan yang serupa akan diambil bagi subsektor pelancongan pendidikan, termasuk penubuhan sekolah swasta antarabangsa, dengan tumpuan diberi kepada koridor pertumbuhan seperti Iskandar Malaysia.

39. Untuk menggalakkan aktiviti sektor swasta, langkah-langkah liberalisasi berikut akan diambil:
Pertama:

  • Menghapuskan duti import bagi simen dan keluaran besi keluli panjang (long iron and steel products) untuk sektor pembinaan dan pembuatan. Di samping itu, semua Approved Permit (AP) bagi keluaran besi keluli panjang akan dikecualikan. Langkah ini akan dapat menyokong usaha Kerajaan untuk merangsang pertumbuhan sektor pembinaan, di samping menyediakan persekitaran yang kompetitif dalam industri bekalan bahan binaan negara;

Kedua:

  • Membenarkan individu atau entiti asing untuk membeli hartanah komersil bernilai 500,000 ringgit atau lebih, tanpa memerlukan kelulusan FIC, dengan syarat hartanah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri. Langkah ini adalah untuk menggalakkan pelaburan, terutamanya pembangunan sektor hartanah negara;

Ketiga:

  • Bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing berasaskan pengetahuan (knowledge worker), permit kerja, yang pada masa ini diberi kepada majikan, akan juga diberi secara langsung kepada pekerja tersebut. Oleh itu, langkah ini akan meningkatkan fleksibiliti pekerja demikian dalam pasaran kerja, kerana mereka tidak akan terikat dengan majikan masing-masing.

40. Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan akan membawa kepada penjanaan peluang pekerjaan yang lebih lembab dan juga pengangguran. Oleh itu, dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama:

  • Kerajaan, melalui syarikat GLCs seperti Khazanah dan PNB akan melancarkan "Graduate Employability Management Scheme" (GEMS), yang didasarkan kepada skim graduan terdahulu yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat GLC dengan jayanya. Kerajaan bercadang untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha GLC dalam menangani masalah graduan menganggur ini dengan mewujudkan satu program bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sebelum mereka diserap atau mendapat pekerjaan di syarikat GLC mahupun swasta. Sasaran program ini ialah untuk melatih sehingga 12,000 graduan dalam jangkamasa dua tahun. Kerajaan yakin, progam ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan penggunaan domestik di samping memberi pengalaman yang berharga kepada graduan terlibat. 

Kedua:

  • Mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dan amat diperlukan dalam sektor awam. Pada masa ini, kekosongan jawatan kritikal dalam sektor awam adalah 18,000. Kekosongan ini akan diisi secara kontrak, sementara menunggu proses pelantikan secara tetap. Dalam tahun ini, lebih 1,300 kakitangan telah dilantik secara kontrak bagi Jabatan Kerja Raya bagi meningkatkan keupayaannya dalam melaksanakan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan bahawa Kerajaan tidak bercadang untuk memberhentikan kakitangan kontrak di dalam perkhidmatan Kerajaan sebagaimana dilaporkan dalam media.

41. Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak 200 juta ringgit bagi melaksanakan skim mikro kredit. Dana tambahan ini akan diselaras dan diagihkan melalui saluran sedia ada. Selain itu, Kerajaan juga telah menyediakan dana modal pusingan 100 juta ringgit untuk Program Kewangan Mikro Bandar. Program ini diletakkan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memandangkan kejayaan program yang sama bagi kawasan luar bandar. Semenjak dilancarkan awal tahun ini, Program Kewangan Mikro Bandar sehingga kini telah mengeluarkan pembiayaan melebihi setengah juta ringgit kepada hampir 200 peminjam.

42. Untuk merangsang aktiviti pasaran modal, saya telah mengumumkan penambahan dana Valuecap sebanyak 5 bilion ringgit untuk pembelian ekuiti syarikat-syarikat yang mempunyai asas yang kukuh tetapi nilai pasaran mereka kini terjejas berikutan kesan pergolakan pasaran ekuiti global. Dana tambahan ini akan diperolehi melalui pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijamin oleh Kerajaan. Oleh itu, pinjaman ini bukan sahaja menjamin pulangan yang lebih tinggi daripada kadar deposit institusi perbankan, tetapi juga merupakan pelaburan yang mempunyai risiko yang paling minimum kepada KWSP.

43. Pemegang ekuiti Valuecap, iaitu Khazanah Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), merupakan agensi-agensi Kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan pelabur terbesar dalam pasaran ekuiti negara. Valuecap ditubuhkan pada tahun 2003 dengan dana sebanyak 5 bilion ringgit. Sebagai pelabur jangka panjang, Valuecap melabur dalam syarikat-syarikat blue chips di sektor-sektor utama seperti kewangan, perkhidmatan, perladangan, pembinaan, hartanah, industri, tenaga, dan komunikasi. Valuecap mempunyai mandat untuk melabur dalam mana-mana syarikat dan bukan sahaja dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs). Langkah yang serupa juga telah dilaksanakan di beberapa negara, seperti Tracker Fund of Hong Kong semasa krisis kewangan tahun 1998 dan baru-baru ini, oleh Qatar Investment Authority dan juga sebuah dana pencen terbesar di Korea.

44. Untuk melancarkan lagi proses perolehan kerajaan supaya lebih telus dan mendapat "value for money", kerajaan akan memastikan bahawa sebahagian besar perolehan kerajaan akan dilakukan melalui tender terbuka dan tender terhad. Perolehan kerajaan untuk kontrak-kontrak bumiputera juga akan ditenderkan melalui "competitive bidding" di kalangan syarikat-syarikat bumiputera. Hasrat kerajaan ialah supaya kontraktor-kontraktor bumiputera dapat bersaing dengan sihat dan meningkatkan lagi daya tahan mereka. Walau bagaimanapun, kerajaan masih ada budi bicara untuk menimbangkan rundingan terus atas pertimbangan tertentu. Pengecualian daripada dasar ini akan hanya dibuat di dalam keadaan tertentu sahaja.

45. Langkah-langkah yang diumumkan ini, Insya-Allah, akan dapat menangani impak daripada suasana global yang mencabar. Saya yakin kesejahteraan rakyat akan terus dapat dijamin manakala pembangunan negara akan terus dapat dilaksanakan dengan jayanya.
 
Tuan Yang Dipertua,

46. Dengan penjelasan tentang senario ekonomi global dan domestik serta langkah-langkah tambahan Bajet 2009 di atas, saya berpendapat beberapa isu utama berhubung Bajet 2009 yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Ketua Pembangkang dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain telah dijawab. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab isu-isu lain yang telah dibangkitkan oleh ahli-ahli di Dewan yang mulia ini.

II. PENGURUSAN MAKROEKONOMI

Pelaburan Langsung Asing (FDI)

47. Ahli Yang Berhormat Batu Pahat meminta Kerajaan menyediakan pelan yang lebih rapi dan melaksanakan pendekatan baru untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), khususnya daripada pelabur Timur Tengah. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dalam menarik pelaburan asing ke Malaysia. Ini termasuk  langkah mengurangkan kos dalam menjalankan perniagaan melalui penambahbaikan proses dan mekanisme, menyediakan program perancangan dan pembiayaan perniagaan bersepadu bagi merangsang pelaburan industri serta mengkaji semula perundangan dan peraturan berkaitan pelaburan yang menghalang pembangunan industri. Langkah-langkah ini telah menunjukkan kejayaan di mana FDI bagi tempoh Januari hingga Ogos 2008 adalah 36.8 bilion ringgit, berbanding jumlah FDI keseluruhan tahun 2007 iaitu 33.4 bilion ringgit.

48. Langkah baru untuk menubuhkan Dana Pelaburan yang diumumkan tadi akan dilaksanakan segera bagi menyokong usaha menarik FDI yang lebih tinggi. Selain itu, Kerajaan akan menyokong inisiatif peneraju Koridor Pembangunan untuk membuat misi pelaburan ke luar negara, terutamanya India, China dan Timur Tengah dalam usaha untuk menarik pelaburan yang tinggi dan mapan.

Pelaburan Dalam Sektor Teknologi Tinggi

49. Ahli Yang Berhormat Kuala Selangor meminta Kerajaan memberi penekanan terhadap pelaburan dalam sektor selain daripada yang berintensif buruh,  khususnya kepada sektor berasaskan teknologi tinggi. Untuk makluman, Kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada pelaburan yang berasaskan pengetahuan (knowledge-intensive) dan teknologi terkini berbanding berasaskan buruh. Ini dapat dilihat daripada inisiatif-inisiatif Kerajaan dengan pembangunan koridor pertumbuhan wilayah, termasuk Iskandar Malaysia yang memberi penekanan kepada sektor perkhidmatan, yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Kerajaan sedang giat memajukan industri yang berpotensi, seperti kewangan Islam, pelancongan, pendidikan dan logistik yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi.

50. Pada masa yang sama, bagi sektor yang berintensifkan buruh seperti pembinaan dan pertanian, Kerajaan juga telah mengambil langkah seperti menggalakkan penggunaan automasi dan jentera di ladang-ladang dan penggunaan sistem industrialised building system (IBS) dalam sektor pembinaan yang seterusnya mengurangkan pergantungan terhadap buruh asing. Dalam hal ini, Kerajaan akan memastikan bahawa kandungan IBS dalam semua projek Kerajaan adalah sekurang-kurangnya 70 peratus.

III. DASAR PERCUKAIAN DAN SUBSIDI

51. Ahli Yang Berhormat Bagan membuat saranan supaya mengurangkan cukai syarikat secara progresif daripada 25 peratus kepada 17 peratus. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kadar cukai korporat telah diturunkan dari 28 peratus pada tahun taksiran 2006 kepada 25 peratus pada tahun taksiran 2009. Cukai korporat di Malaysia adalah kompetitif berbanding di negara-negara lain. Sebagai contoh, kadar cukai korporat di India, Indonesia, United Kingdom, Jepun dan Australia adalah 30 peratus.

52. Beliau juga menyentuh perubahan harga petrol secara harian dibuat selaras dengan perubahan harga pasaran harian minyak mentah dunia. Berkenaan dengan cadangan perubahan harga secara harian, ia hanya boleh dilaksanakan pada keadaan di mana harga minyak runcit di stesen minyak diapungkan sepenuhnya. Ini kerana di dalam keadaan semasa di mana Kerajaan masih mengawal harga minyak runcit di  stesen minyak serta memberikan subsidi, penetapan harga minyak secara harian adalah tidak efisien dan menimbulkan banyak masalah pentadbiran.

IV. KEWANGAN DAN PERBANKAN

Pembelian Ekuiti Bank Internasional Indonesia (BII)

53.  Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh meminta penjelasan terhadap pembelian 35 peratus saham BII oleh Maybank. Suka saya memperjelaskan di sini, dakwaan bahawa keputusan pembelian tersebut melibatkan Menteri Kewangan adalah tidak benar. Ini adalah suatu transaksi komersil dan keputusan hala tuju bank serta pelaburannya ditentukan oleh Lembaga Pengarah Maybank dan pemegang saham bank tersebut. Selaras dengan urus tadbir korporat yang telus, Lembaga Pengarah adalah bertanggung jawab terhadap keputusan yang telah dibuat.

54. Ahli Yang Berhormat Pontian meminta Kerajaan terus mengeksport kepakaran dalam sistem perbankan Islam, khususnya ke negara-negara Timur Tengah dan mencadangkan tindakan lebih agresif diambil bagi memperkenalkan perbankan Islam ke luar negara. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sememangnya memandang serius usaha untuk menghasilkan modal insan atau sumber manusia berkepakaran tinggi dalam kewangan Islam, terutamanya golongan profesional kewangan Islam yang mahir dalam syariah serta berpengetahuan dengan amalan terkini industri.

55. Menjelang tahun 2010, diunjurkan kira-kira 11,600 kakitangan terlatih dan profesional dalam kewangan Islam diperlukan dan jumlah itu meliputi 31 peratus daripada jumlah keseluruhan profesional terlatih dalam sektor perbankan di negara ini. Kerajaan berkeyakinan unjuran permintaan di atas dapat dipenuhi dengan adanya strategi menyeluruh yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Bantuan pinjaman rumah

56.  Ahli Yang Berhormat Pulai menyarankan supaya Bajet 2009 mengambil kira bantuan kepada pembeli rumah serta membuat kawalan mengenai kadar inflasi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,  pihak institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk membantu meringankan beban peminjam pembeli rumah. Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

Pertama:
i. merangkumkan kos awal seperti fi guaman sebagai sebahagian dari pinjaman. Dalam kes-kes tertentu, institusi perbankan boleh menanggung kos fi guaman dan duti setem bagi pihak pembeli;

Kedua:
ii. menawarkan produk-produk yang mengenakan kadar pinjaman faedah yang amat kompetitif serta menyediakan skim pinjaman bersama (2 Generasi); dan

Ketiga:
iii. institusi perbankan bersedia mengadakan rundingan awal dengan peminjam sebelum mereka menghadapi masalah bayaran balik. Institusi perbankan juga bersedia menstrukturkan semula pinjaman dengan melanjutkan tempoh pinjaman kepada mereka yang benar-benar menghadapi masalah bayaran balik.


V. PENGURUSAN KONTRAK DAN PEROLEHAN KERAJAAN

Perolehan Helikopter Daripada Eurocopter France

57. Yang Berhormat Permatang Pauh dan Ipoh Timur juga telah membangkitkan beberapa perkara mengenai perolehan 12 unit helikopter daripada Eurocopter France untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan helikopter Nuri.

58. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, perolehan pesawat ini dilaksanakan secara Tender Antarabangsa yang mana penilaian teliti telah dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal dan Harga dan diperakukan oleh Lembaga Perolehan KEMENTAH sebelum dimajukan kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian dan kelulusan. Penilaian tender dibuat berdasarkan dokumen tender yang telah dikemukakan oleh petender-petender dan ia dinilai berdasarkan pematuhan tawaran petender kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam dokumen tender. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (Public Accounts Committee) telah juga mengesahkan bahawa tiada sebarang penyelewengan dari segi tatacara perolehan dan aspek teknikal. Ini bermakna soal skandal yang dijaja oleh pembangkang langsung tidak berbangkit.

Masalah Kontraktor di Sabah

59. Ahli Yang Berhormat Kalabakan menyentuh Kontraktor Bumiputera dan bukan Bumiputera di Sabah yang menghadapi masalah disebabkan peningkatan harga bahan-bahan binaan yang tinggi. Apakah tindakan Kerajaan dalam menangani masalah ini bagi membantu kontraktor di Sabah terus menyiapkan projek Kerajaan yang belum siap.

60. Untuk makluman Ahli yang Berhormat, berikutan kenaikan harga bahan binaan dan harga bahan api yang ditanggung oleh pihak kontraktor dalam melaksanakan projek Kerajaan, khususnya projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, Kerajaan telah bersetuju untuk mengkaji syarat perubahan harga bagi memastikan projek Kerajaan tidak terjejas dan dapat disiapkan. 

61. Untuk tujuan tersebut, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan bertarikh 6 Ogos 2008 mengenai syarat dan kaedah pengiraan perubahan harga yang baru. Peraturan baru ini membolehkan syarat perubahan harga khas diberikan kepada projek reka dan bina, di samping menambah bilangan bahan binaan bagi tujuan pengiraan perubahan harga.  Pelaksanaan perubahan harga ini turut diberikan kepada kerja-kerja Mekanikal dan Elektrikal, yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang peruntukkan perubahan harga bagi kerja berkenaan.

62. Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan kemudahan khas kepada kontraktor seperti berikut:

Pertama:
(i) lanjutan masa sehingga tiga (3) bulan bagi projek yang masih dalam pembinaan; dan

Kedua:
(ii) bayaran kemajuan interim dibuat dua (2) kali sebulan mengikut  nilai kerja sebenar bagi membantu aliran tunai kontraktor.

Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan syarat perubahan harga ini serta kemudahan khas yang diberi dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh kontraktor di samping memastikan pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Kesembilan dapat disiapkan.

VI. PENUTUP

Tuan Yang DiPertua,

63. Selama lebih 5 jam Ketua Pembangkang telah berhujah tentang Bajet 2009. Ia merupakan sesuatu yang luar biasa jika dibanding cuma satu jam setengah masa pembentangan Bajet 2009 oleh YAB Perdana Menteri pada 29 Ogos 2008. Namun tuduhan-tuduhan Permatang Pauh yang menyatakan Bajet 2009 ini tidak boleh digunapakai ternyata meleset. Malah usaha pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pada 16 Sept 2008 tidak lebih daripada suatu fatamorgana, mirage, impian yang tidak menjadi kenyataan.

64. Yang pasti, usaha itu telah menyebabkan berlakunya ketidakstabilan suasana  harmoni dan merenggangkan keyakinan pelabur asing kepada negara kita.  Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional akan terus kukuh bagi menjaga kepentingan pelbagai kaum di negara ini. Semangat Bajet 2009 iaitu Kerajaan Prihatin akan terus menerajui perjuangan murni yang menjadi landasan teras kerajaan Barisan Nasional.

65. Dalam menghadapi persekitaran yang mencabar ini, saya menyeru kepada semua rakyat, baik di dalam atau luar negeri, untuk sama-sama menyumbang ke arah memastikan krisis ini ditangani dengan jayanya. Kita perlu belajar daripada pengalaman yang lalu, di mana kita berjaya mengharungi setiap krisis dengan semangat bersatu padu dan kerjasama yang erat.

66. Semua pihak mempunyai peranan yang penting dalam memastikan negara kita terus membangun dengan maju, tidak kira sektor awam, sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGOs) mahupun parti politik. Saya yakin, gandingan dan usahasama yang jitu akan membolehkan kita berjaya menangani cabaran yang kita sedang hadapi ini, Insya-Allah.

67.  Sebesar mana dan setinggi mana pun rempuhan badai kemelesetan ekonomi dunia, akan kita hadapi dengan persiapan rapi. Benteng pertahanan kita wajar semakin tegap dengan sokongan akrab dan dokongan mantap dari semua pihak. Marilah kita menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab untuk membina ekonomi negara melalui Bajet 2009 ini. Hasrat murni kita ini dilandasi dengan penuh sifat berhemah dan bijaksana demi mengutamakan kepentingan negara tercinta dan membela rakyat jelata.

Sekian


Kementerian Kewangan
Putrajaya

4 November 2008

Terakhir Dikemaskini Isnin, 06 April 2009 12:33
 

Penafian:- Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Syarikat-syarikat yang dirujuk dalam laman web ini tidak boleh dianggap sebagai agen ataupun syarikat yang disyorkan oleh
Kementerian Kewangan.
-->